oleh: Jahaberdeen Mohamed Yunoos
Kosmos online melapurkan bahawa:
“Mengikut pertuduhan, Asri didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah daripada JAIS di kediaman No. 2, Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang dekat sini antara pukul 8.10 malam dan 9.45 malam 1 November lalu.
Asri didakwa mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan”.
Di dalam “sejarah agama Islam” di Malaysia, ini merupakan pertama kali seorang bekas Mufti di dakwa diatas pertuduhan mengajar tanpa bertauliah. Pada peringkat ini, memang terlalu awal untuk membuat sebarang komen terhadap inti pati pertuduhan kerana kes ini belum bermula lagi. Sepasti nya perjalanan kes ini akan melibatkan pelbagai perkara seperti takrif “mengajar”, “agama Islam” dan sebagai nya. Dari aspek ini, mungkin perjalanan kes ini akan meningkatkan kefahaman orang awam mengenai “pentadbiran agama Islam” oleh “ajensi agama” di Negara ini.
Memandangkan dewan Undangan Negri Selangor telah meluluskan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan kini sudah pun ada pertuduhan di bawah Enakmen ini di hadapkan teradap Dr Asri dalam Mahkamah Syariah, maka seelok nya kita biarkan proses undang-undang ini berjalan. Dalam konteks ini, tidak tepat juga seorang Ahli Parlimen yang tidak berparti (tetapi tidak jelas bebas) untuk mempersoalkan implementasi undang-undang ini yang di bawah kerajaan PKR. Ia seharusnya bertanya kepada kerajaan Selangor.
Namun, kita harus mengkaji nya dari aspek-aspek yang lain. Pertama, Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa pihak Jais berpendapat seorang Mufti itu sendiri perlu untuk mendapatkan tauliah apabila tempoh nya sebagai mufti habis. Seorang Mufti di anggap atau sekurang-kurang nya di ketengahkan kepada masyarakat sebagai seorang yang arif di dalam agama Islam. Mufti di anggap bukan sahaja sebagai seorang “jurist” atau ahlul fekah tetapi sebagai seorang “ulamak agama”. Hampir jarang atau tidak kedengaran seorang Melayu Muslim tidak setuju dengan pandangan seorang Mufti kalau dibandingkan sebagai contoh dengan Peguam Negara.
Ini adalah kerana seorang Mufti bukan sahaja di lihat sebagai pakar undang-undang syariah tetapi secara amnya sebagai seorang agama yang disegani. Persepsi am selama ini ialah: bercanggah pendapat dengan seorang Mufti samalah dengan bercanggah pendapat dengan ajaran Islam. Besar kemungkinan pertuduhan terhadap Dr Asri akan mengubah persepsi ini di kalangan masyarakat terhadap kumpulan orang agama. Kini jelas bahawa seolah-olah seorang Mufti hilang “kewibawaan” bercakap mengenai Islam apabila ia menjadi bekas Mufti.
Kalau kita ambil contoh Peguam Negara, satu jawatan yang di hormati oleh peguam-peguam di Negara ini, perkara sedemikian tidak timbul. Bagi Peguam Negara, sebarang pandangan yang bercangah dengan beliau tidak menjadi masalah langsung. Beliau tidak akan kecil hati serta tidak menjadi kesalahan di bawah “perundangan sibil”. Ini adalah kerana didalam disiplin perundangan sibil, perbezaan pandangan benar-benar dianggap sebagai memperkayakan sistem perundangan Negara. Kepelbagaian pandangan adalah suatu yang lazim dan tidak seorang peguam mahupun peguam Negara sendiri yang menekankan hanya pandangan nya diterima sebagai betul. Kesemua hujah-hujah adalah berasaskan nas dan kemunasabahan.
Kedua, faktor keperluan untuk mendapatkan tauliah untuk “mengajar Islam” juga mungkin menimbulkan pelbagai persepsi. Ia membawa implikasi bahawa amalan Islam di Negara ini terikat amat rapat dengan perundangan. Dalam ertikata lain, seorang Melayu Muslim dalam Negara ini tidak dapat mengamalkan Islam kecuali seperti mana yang ditentukan oleh perundangan syariah Negara ini iaitu pengubal-pengubal undang-undang tersebut. Adakah ini membawa maksud bahawa individu Muslim tidak mempunyai sebarang pemilihan dalam mengamalkan Islam seperti mana yang difahami oleh nya?
Walaupun perkara ini adalah berkaitan dengan “mengajar mengenai Islam”, namun rakyat Muslim akan bertanya samada wujud nya perundangan-perundangan lain yang tidak diketahui umum yang membatasi atau mengawal amalan Islam mereka. Tanda tanya ini menjadi serius apabila orang awam membandingkan diri mereka dengan seorang yang berstatus bekas mufti dan graduan universiti berkelulusan phd.
Ketiga, peristiwa ini juga akan mencetuskan perbincangan mengenai apakah yang dimaksudkan dengan istilah “undang-undang” syariah di Negara ini? Ahli akademik memang arif tentang maksud istilah ini dari aspek teori nya. Begitu juga orang awam sekian lama menganggap bahawa istilah ini merujuk kepada “undang-undang Islam” tanpa sebarang soal atau selidik. Namun, kini akan timbul apakah maksud istilah ini dari segi praktiknya?
Setiap orang Islam yang mengambil agama nya secara serius tahu bahawa amalan agama nya adalah bersumberkan Al-Quran dan Sunnah. Ramai yang tidak sedar bahawa perundangan syariah dalam praktis adalah juga bersumberkan ijma ulama dan kias. Kini, seolah-olah terdapat satu lagi kawalan terhadap amalan mereka dari segi praktik iaitu perundangan yang di istilahkan “syariah”. Adakah menjadi kesalahan dibawah perundangan syariah Negara ini sekiranya seorang rakyat Muslim ingin mengesahkan samada yang di istilahkan sebagai “undang-undang syariah” itu benar-benar bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah? Bagaimana jika seorang Muslim itu berpandangan bahawa suatu peruntukkan dibawah undang-undang syariah itu tidak bertepatan dengan AL-Quran dan Sunnah?
Persoalan-persoalan seperti diatas perlu diperjelaskan oleh kerajaan serta ajensi agama supaya Muslim yang ikhlas tidak terlanggar undang-undang syariah Negara ini.
Persoalan-persoalan ini juga penting supaya rakyat Muslim tahu tanggunjawap mereka dibawah undang-undang syariah di Negara ini. Pendekata, jika rakyat Muslim tahu bahawa Islam amalan Negara ini adalah seperti yang ditentukan oleh agensi-agensi agama, maka mudah bagi rakyat Muslim untuk merujuk kepada ajensi berkenaan mengenai sebarang kemusykilan agama.
Jika ini kedudukan nya, paling elok ialah sebuah buku diterbitkan untuk kegunaan rakyat Muslim supaya mereka tahu amalan Islam yang dibenarkan. Melalui cara ini, kita dapat mengelakkan perlanggaran undang-undang secara tidak sengaja.
Salam.