Ekoran daripada kenyataan Nurul
Izzah baru-baru ini berkaitan dengan isu kebebasan beragama seperti yang
dimaksudkan dalam Quran 2:256, kedengaran beberapa seruan supaya agama tidak
dipolitikkan. Saya amat “bersetuju”
dengan seruan ini tertakluk kepada beberapa perkara.
Seharusnya kita tidak
memperalatkan agama untuk tujuan politik mahupun untuk tujuan-tujuan dimana
kita tergolong didalam golongan yang dimaksudkan oleh Allah didalam surah
At-Taubah ayat 9:
“Mereka menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, lalu mereka
menghalangi manusia dari jalan Allah; sesungguhnya amat buruklah apa yang
mereka kerjakan” (Quran 9:9)
Saya percaya manusia yang berani
memperalatkan ayat-ayat agama untuk tujuan kepentingan diri semata-mata adalah
manusia yang tidak insaf akan azab yang boleh diturunkan oleh Allah kepadanya.
Malangnya, ini adalah keadaan yang agak lazim kerana manusia sering tidak sedar
kesakitan azab yang diundang olehnya. Maka, ia tidak berfikir panjang didalam
memperalatkan agama untuk kepentingan peribadi semata-mata. Kita dapati
pengajaran ketidaksedaran manusia terhadap azab Allah didalam cerita Firaun itu
sendiri dimana FIraun hanya sedar pada saat yang paling akhir bahawa Allah lah
yang Maha Pencipta.
Kita juga berharap mereka yang
menyeru supaya “agama tidak dipolitikkan” tahu apa yang mereka maksudkan.
Jangan pula seruan supaya “agama tidak
dipolitikkan” bertukar menjadi satu
lesen untuk menjauhkan Muslim daripada usaha mendekatkan diri mereka kepada
Islam. Politik mempunyai satu ciri yang
amat merbahaya dan kejam - politik boleh mengwujudkan atau membenarkan
kewujudan satu suasana dimana kebebasan seorang Muslim untuk mengamalkan Islam
seikhlas mungkin dikawal sehingga berupa menindas.
Saya khuathir bahawa seruan “agama jangan dipolitikkan” dijadikan sebagai
satu alasan untuk mempolitikkan agama oleh pihak-pihak berkepentingan. PIhak-pihak berkepentingan ini termasuk mereka
yang berada didalam arena politik, ekonomi dan juga yang berada didalam arena
agama. Didalam sejarah manusia, memang sesuatu yang bukan baru bagi golongan
berkepentingan dan munafik memperalatkan agama bagi tujuan kuasa, harta, atau
kedudukan. Kita harus mahu faham perkara-perkara ini secara jelas sebelum
menerima atau menolak ungkapan “agama
jangan dipolitikkan” secara membuta tuli.
“Kemudian mereka menjualnya dengan harga yang murah, beberapa dirham
yang dihitung, kerana mereka tidak menghargainya”. (Quran: 12:20)
Apabila agama dipolitikkan oleh
institusi-institusi politik pula, terutamanya yang mempunyai kuasa
undang-undang, ia berupaya untuk menggangu kepertanggungjawapan individu
(individual accountability) kepada Maha Penciptanya. Undang-undang yang tidak
konsisten dengan ajaran Allah didalam Al-Quran mampu bersikap zalim dan
memesong manusia daripada jalan yang dianjurkan oleh Allah. Pada saya, apa-apa undang-undang dengan apa
nama sekali pun tidak harus melanggar perintah Allah didalam surah Al An’Aam
ayat 94:
“Dan sungguh kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri sebagimana Kami
jadikan kamu pada pertama kali, dan kamu tinggalkan dibelakang kamu(dunia) apa
yang telah Kami kurniakan kepada kamu. Dan Kami tiada lihat berserta kamu
penolong-penolongmuyang kamu anggap bahwa mereka itu di antara kamu sebagai
sekutu-sekutu Allah. Sungguh telah putus (pertalian) antara kamu dan telah hilang
daripadamu apa yang pernah kamu anggap (sebagi sekutu-sekutu Allah)”. (Quran
6:94)
Pada saya amat mustahak bagi
seorang Muslim yang ikhlas dan mengambil berat pengabdiannya kepada Allah untuk
memahami ayat diatas yang dengan jelas, yang anatara lain, memberi amaran
bahawa kita sendirilah yang akan dipertanggungjawapkan diatas perlakuan kita,
bukan orang lain. Ayat itu menjelaskan perkara-perkara berikut:-
1) 1) Seperti
mana kita dilahirkan sendiri-sendiri, kita juga akan kembali kepada Allah
seorang diri tanpa iringan;
2) 2) Segala-gala
yang kita himpunkan dimuka bumi akan ditinggalkan
3) 3) Penolong-penolong,
penasihat-penasihat yang kita gunakan dimuka bumi sebagai “sekutu-sekutu” Allah
telah putus hubungan dengan kita apabila kita kembali kepada Allah. Pada saya
maksud “sekutu-sekutu” ini boleh bermaksud sumber-sumber yang selain daripada
Allah untuk mendapatkan ilmu berkaitan ajaran Nya.
Perkara ini
perlu difikirkan secara mendalam dan teliti kerana mengambil sekutu-sekutu
disamping Allah boleh menjurus kepada syirik. Sekutu-sekutu ini juga mampu
memesongkan kita daripada jalan Allah jika kita tidak berawas dan leka dengan
menganggap bahawa penolong-penolong ini akan mendekatkan kita dengan Allah.
Allah yang Maha Mengetahui telah menjangka keadaan seperti ini berlaku didalam
surah Az Zumar ayat 3:
“Ketahuilah hanya bagi Allah agama yang suci
(diinul khaalishu). Dan orang-orang yang mengadakan pelindung-pelindung
selain-Nya berkata - "Kami tidak menyembah mereka
melainkan supaya mereka lebih mendekatkan kami kepada Allah". Sesungguhnya Allah akan memutuskan diantara
mereka mengenai apa yang mereka memperselisihkan. Sesungguhnya Allah tidak
memberi petunjuk kepada orang yang dusta, lagi sangat ingkar”. (Quran:
39:3)
Cuba fikirkan
mengenai perkatan “menyembah” (“buduhum)
yang digunakan didalam ayat diatas dan perkataan “hanyalah Engkau yang kami
sembah” (Iyyaka na’budu) didalam
surah Al-Fathihah. Bukankah “menyembah”
Allah bermaksud menuruti ajaran-ajarannya? Begitu juga menyembah (buduhum) pelindung-pelindung selain
Allah bermakna kita menuruti ajaran pelindung-pelindung ini. Didalam konteks ayat-ayat ini, tidakkah
merbahaya jika seorang Muslim dipaksa menerima (menyembah) fahaman
manusia-manusia lain dengan tujuan “untuk mendekatkan diri kepada Allah” tanpa
kebebasan untuk menilai apa yang diajar? Kita telah pun lihat sebentar tadi
bahawa manusia-manusia lain ini, sepandai mana pun mereka, tidak akan
mengiringi kita apabila kita kembali kepada Allah nanti.
Bagaimanakah
seorang Muslim dapat beriman kepada surah 17 ayat 36 jika ia tidak mempunyai
kebebasan untuk menolak pandangan atau tafsiran manusia lain?
“Dan janganlah kamu turuti apa yang kamu
tiada pengetahuan mengenainya; pendengaran, dan penglihatan, dan hati - semua
itu dipertanggungjawapkan”. (Quran: 17:36)
4) 4) Quran
6:94 itu juga juga dengan jelas menekankan sifat kepertanggungjawapan diri
(“self-accountability”), Ini bermakna kita sendirilah dan bukan orang lain yang
akan dipertanggungjawapkan diatas kepercayaan dan tindak-tanduk kita diatas
muka bumi. Kepertanggungjawapan adalah mustahil tanpa kebebasan untuk menilai,
dan untuk membuat keputusan bagi diri sendiri. Masing-masing memikul dosa
masing-masing and orang lain tidak dipertanggungjawapkan dalam hal ini. Fakta
ini diulang beberapa kali didalam Al-Quran walaupun ada pihak-pihak
berkepentingan seolah-olah tidak mahu mengakui perkara ini. Sebagai contoh,
didalam surah Faathir ayat 18 yang bermaksud:
“Orang yang berdosa tidak
akan memikul dosa orang lain; dan jika orang yang berat dosanya
memanggil orang lain untuk memikul dosa itu tidak sedikit pun akan dipikulkan
untuknya meskipun yang dipanggil itu adalah sanak saudaranya. Sesungguhnya yang kamu dapat memberi peringatan hanyalah
kepada orang-orang yang takut kepada Tuhannya (sekalipun) mereka tidak
melihat Nya, dan mereka mendirikan solat; dan sesiapa yang menyucikan dirinya, dia
hanyalah menyucikan untuk dirinya sendiri. Kepada Allah lah tempat kembali. (Quran:
35:18)
Quran 35:18 amat
jelas dalam beberapa perkara dan menjelaskan bahawa peringatan yang diberikan
hanya boleh diterima oleh mereka yang takut kepada Tuhan walaupun tidak dapat
melihatnya. Pada saya, ayat ini jelas menekankan kepentingan kerohanian atau spiritualism dan bukanlah kepatuhan
jasmani atau superficial seperti mana
yang dikehendaki melalui paksaan.
Apabila rohani itu betul, jasmani akan secara automtis turut serta.
Sebaliknya, jika rohani tidak betul atau tidak yakin, yang tampak ialah jasmani
yang munafik atau hipocrtite. Dimana
Allah menekankan yang “isi” mengapa pula kita memesongkan manusia dengan
menekankan hanya yang “kulit”?
(Begitu juga sila
rujuk Quran 53:38 -39)
Berdasarkan latarbelakang
ayat-ayat diatas, kita kembali kepada perbincangan proses mempolitikkan agama.
Hakikat yang sebenarnya di Negara ini ialah, agama sudah pun dipolitikkan dari
pelbagai segi, diantaranya seperti berikut:-
1) Parti politik PAS sendiri
namanya adalah “Parti Islam SeMalaysia”. Parti ini meletakkan dasar perjuangannya
berlandaskan agama. Bagaimana kita boleh katakan jangan mempolitikkan agama
apabila pihak berkuasa telah membenarkan satu parti politik yang memilih agama
sebagai dasar perjuangannya ditubuhkan? Undang-undang Negara sendiri telah
membenarkan agama dibicarakan dan diperjuangan oeh parti politik didalam arena
politik. How more political can religion
be when it is already a political platform?
2) Parti politik UMNO pun sering
membicarakan isu-isu agama dan sering pula bersaing dengan PAS dalam tafsiran,
pendekatan serta program-program “agama”. Isu hudud, umpamanya kini dibicarakan
dengan hebat didalam medan politik. Rakyat berpersepsi bahawa perbincangan
hudud ini bagi PAS ialah supaya ahli PAS
yakin bahawa PAS masih berpegang kepada pelaksanaan hudud. Bagi UMNO-BN pula ialah
untuk menakutkan orang yang bukan agama Islam terhadap hudud. Perbincangan-perbincangan
ini langsung tidak akademik atau berilmiah dan tidak langsung dibincang dalam
suasana untuk memahami apa itu “hukum hudud” serta nas-nasnya.
3) Berdasarkan kupasan diatas,
menjadi kelakar apabila ada sesiapa yang mengatakan “jangan politikkan agama”
tanpa memahami bahawa mempolitikkan agama sudah menjadi budaya dan institusi di
Negara ini. The politicisation of
religion is already a culture and an institution in this country. Disini
lah cabarannya kepada individu Muslim dan rakyat apabila agama telah diambil
alih oleh orang-orang politik sebagai senjata politik untuk meraih sokongan.
Apabila orang-orang politik mengambil
alih sesuatu yang dianggap sensitif seperti agama, maka suara ulama-ulama agama
yang jujur, lurus dan berilmu serta suara-suara mufakir-mufakir akan
ditenggalamkan oleh tekanan politik. Ini
adalah kerana orang-orang politik akan menggunakan segala yang mungkin untuk
mengekalkan monopoli mereka diatas senjata tersebut termasuk mengupah
ulama-ulama agama yang berkepentingan dan cetek pemikiran (walaupun mempunyai
pendidikan formal yang menarik daripada institusi pengajian tinggi yang
dihormati).
Sepanjang kehidupan saya, saya
sering mendengar beberapa ulama agama yang apabila ketandusan hujah bergantung
kepada pembelaan seperti “aku fasih bahasa Arab dan aku professor yang
dihormati” atau “aku adalah daripada Universiti ….”. Orang yang memahami ilmu “straight and crooked thinking” akan
tahu bahawa ini adalah satu alat pemikiran songsang atau taktik yang dipanggil
sebagai “appeal to authority” bagi
mengabui mata sipendengar daripada isu sebenar. Orang ramai masih lagi
terkeliru diantara orang yang bermaklumat atau berpendikian formal dengan orang
yang mampu berfikir dan berilmu. Pada
saya, Al-Quran juga ada menyebut mengenai taktik-taktik seperti ini yang
digunakan oleh orang yang dianggap “pakar” atau “terpelajar” bagi menyesatkan
orang ramai. Mereka yang mesra dengan
Al-Quran akan ketahui amaran Allah untuk berwaspada terhadap golongan
mengada-gada seperti ini:-
”Dan begitulah Kami mengadakan di tiap-tiap bandar raya,
pembesar-pembesar yang berbuat jahat supaya mereka lakukan tipu daya dalam negeri itu; Dan mereka memperdayakan melainkan
dirinya sendiri sedang mereka tidak menyedarinya” (Quran: 6:123)
“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan Taurat kepadanya, kemudian
mereka tidak memikulnya adalah ibarat seekor keledai yang memikul kitab-kitab
yang tebal. (itulah) seburuk-buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat
Allah. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”. (Quran: 62:5)
Amatlah salah jika kita berfikir
bahawa semua yang berkelulusan daripada Universiti itu mampu berfikir dan
berilmu dan sebaliknya semua yang tidak pernah masuk Universiti itu tidak mampu
berfikir dan tidak berilmu. Saya sendiri pernah jumpa beberapa orang yang tidak
pun lepas tingkatan lima tetapi adalah seorang genius manakala saya pernah
temui beberapa professor berkelulusan PhD atau “pakar” tetapi bodoh macam
keldai seperti yang digambarkan oleh Allah didalam Quran 62:5. Apatah lagi
didalam bidang agama dimana Allah sahajalah yang mengetahui maksud sebenarnya
dan Allah sahajalah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Ia kehendaki.
Perbezaan pandangan dan pendapat
semestinya berlaku kerana Allah lah yang telah membenarkannya berlaku (Quran 41:45).
Pada saya, perbezaan pendapat ini merupakan satu lagi rahmat serta ujian kepada
diri kita. Ia tidak harus dijadikan sebagai satu masalah atau alasan untuk
bermusuhan atau menindas. Allah telah pun memberikan jalan keluar kepada kita
apabila kita berhadapan dengan pandangan-pandangan yang berbeza, itu pun kalau
kita mahu akur kepada firmanNya:-
“Yang mendengar perkataan, dan mengikuti yang paling baik diantaranya. Mereka
itulah orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itu lah orang-orang
yang berakal”. (Quran: 39:18.
Maka jelas bahawa bila ada
perbezaan pandangan, gunakanlah akal untuk berifkir dan menilai dan jangan pula
kita berkelakuan seperti jahiliah dengan bergaduh atau bermusuhan dengan orang
yang berbeza pandangan dengan kita. Kita dapati pada hari ini permusuhan yang
amat ketera didalam dunia Islam dikalangan mereka yang berlainan mazhab dan
fahaman seperti Sunnah wal Jamaah dan Syiah.
Apakah politik yang mengakibatkan
permusuhan sengit itu berlaku apabila tafsiran agama diangkat sebagai monopoli
satu pihak?
Salam.
NOTA: Harap pembaca merujuk kepada naskah Al-Quran masing-masing dan penulis
tidak mengkehendaki sesiapa pun bersetuju dengan pandangan penulis diatas.
Sebaliknya, penulis berterima kasih sekiranya ada sebarang maklum balas dan
pandangan berbeza. Ilmu Allah itu teramat luas untuk dimiliki oleh seorang atau
sekumpulan manusia betapa berilmu pun orang itu diiktiraf. Saya sendiri adalah seorang pelajar
kehidupan sehingga keakhir hayat saya.
2 comments:
Sangat setuju.
People are too obsessed with politic nowadays.
Post a Comment