Followers

Wednesday, March 23, 2011

Tun Dr Mahathir Mohamad: Melayu Oh Melayu ???


Tun Dr Mahathir (“TDM”) melahirkan kesalannya terhadap “seorang orang Melayu yang mendakwa dia kecewa kerana dianya dilahir berbangsa Melayu”. Pada amnya saya setuju dengan penulisan beliau kerana saya rasa saya faham dari perspektif mana beliau menulis.  Ini mungkin dipengaruhi oleh fakta bahawa saya mengenali beliau secara peribadi dan pernah berbincang dengan beliau berkaitan dengan beberapa isu yang bersangkutan. Pengalaman peribadi saya meyakinkan saya bahawa beliau berniat baik  dan saya dapat merasai kesayangan beliau kepada kaum Melayu. Mungkin kesayangan beliau kepada Melayu lah yang membuat beliau berhujah mengikut cara beliau berhujah.

Namun saya terpanggil untuk memberi beberapa pandangan saya sendiri disini kerana rencana itu menyentuh berkaitan dengan Islam dan saya adalah seorang Muslim serta beliau adalah seorang yang saya sayang. Maka maafkan saya ayahanda Tun kerana berbeza sedikit pandangan.

 TDM menulis bahawa “Seseorang yang dilahir dalam keluarga Melayu tetap Islam kerana keluarga itu tidak akan berbangsa Melayu jika mereka tidak Islam”.   Fahaman ini adalah betul dari segi undang-undang Negara kerana takrif Artikel 160 Perlembagaan Malaysia. Artikel 160 mentakrifkan bahawa seorang warganegara Malaysia yang beragama Islam, mengamalkan budaya Melayu dan bercakap Bahasa Malaysia adalah seorang “Melayu”.  Berdasarkan Artikel 160 inilah hujah TDM bahawa seorang Melayu yang keluar daripada agama Islam bukan lagi Melayu – dari segi undang-undang. Dari segi etnik, ia masih Melayu.

Maka, menurut Artikel 160, jika seorang Portugis, Cina dan lain-lain menganut agama Islam serta memenuhi syarat-syarat lain dalam Artikel tersebut, maka mereka juga dikira sebagai “Melayu” dari segi undang-undang.  Begitu juga seorang yang berketurunan India Muslim yang memenuhi syarat-syart tersebut juga adalah dari segi undang-undang seorang “Melayu”.  Sejauh mana Artikel 160 diberi kesan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam praktiknya apabila ianya melibatkan “Melayu” dari etnik lain, saya kurang pasti. 

JIka kita masih mahu berpegang kepda klasifikasi etnik dan berhujah bahawa kewujudan “kaum-kaum” adalah ciptaan Allah (saya tidak nafikan perkara ini), kita juga harus mahu membezakan keadaan unik di dalam Negara ini dimana terdapat nya pentakrifan suatu kumpulan sebagai “Melayu” oleh undang-undang yang berlainan dengan pentakrifan etnik. Alasan mengapa Allah mencipta pelbagai kaum juga dijelaskan dalam Al-Quran dan saya pernah menyentuh topik tersebut disini.


Undang-undang Malaysia tidak terpakai diluar daripada Malaysia, maka diBali ada orang-orang Melayu dari segi etniknya beragama Hindu. Kalau kita menggunakan kacamata universal (sepertimana ajaran Allah adalah universal), sememangnya agama dan bangsa adalah perkara yang amat berlainan. Seorang yang bangsa apa pun apabila menjadi seorang Muslim, ajaran Islam lah yang akan menjadi dominan dan banyak unsur-unsur bangsanya akan lenyap kecuali yang tidak bertentangan dengan ajaran islam. Ini lah kekuatan Islam yang dapat menyatupadukan umat manusia tanpa mengira asal usul keturunan etnik. 

Dengan segala hormatnya kepada TDM yang amat saya sayangi, saya tidak begitu selesa dengan hujah beliau yang berikut:- 

“Apabila orang Melayu berasa dia kecewa kerana berbangsa Melayu, maka ini bermakna dia tidak menghargai nasibnya yang baik kerana dia dilahir sebagai orang Islam. Jika tidak kemungkinan besar dia tidak akan terima agama Islam”.

Saya kurang setuju bahawa jika seorang itu tidak dilahirkan sebagai Melayu, besar kemungkinan dia tidak akan terima agama Islam berdasarkan alasan-alasan berikut:-

1)      1. Begitu lebih ramai lagi Muslim bukan Melayu di dunia berbanding dengan Melayu. Dalam tahun 2009, jumlah orang Islam (secara rasmi) dalam Malaysia dianggarkan melebihi 16 juta. Sebaliknya, orang-orang Islam (secara rasmi) dalam tahun 2009, diCina sebanyak melebihi 22 juta, di India lebih daripada 222 juta, Indonesia sebanyak 202 juta, Pakistan (>174 juta), Saudi Arabia (>24 juta) dan lain-lain.

2)      2. Kita perlu ingat bahawa “orang Islam” yang dimaksudkan dalam perbincangan adalah orang Islam yang diktiraf secara rasmi sebagai “orang Islam”. Kita bincang hal “kulit” dan bukan dari segi “isi”. Saya kurang tertarik dengan hujah-hujah berdasarkan kulit kerana ia dibuktikan menyesatkan manusia dalam kehidupan dalam pelbagai aspek. Seseorang yang lazimnya ditakrif sebagai “orang Islam” tidak semestinya Muslim. Jangan kita meremehkan perbedaan ini. Allah telah memberi amaran mengenai orang-orang yang “Islam kulit” dan banyak ayat-ayat berkaitan dengan golongan munafik.

“Dan sebahagian manusia, ada yang berkata, "Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian"; padahal mereka bukanlah orang-orang mukmin” (Al-Baqarah ayat 8).

”Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, dan padahal hanya menipu diri mereka sendiri sedang mereka tidak sedar”. (Al-Baqarah ayat 9).

“Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakit mereka, dan bagi mereka, azab yang pedih disebabkan apa-apa yang  mereka dustakan”. (AlBaqarah  ayat 10)

3)      3. Samada seseorang itu menjadi “Muslim” atau tidak, dari aspek “akidah” atau Al-Quran (bukan aspek undang-undang atau kelaziman) ianya tidak bergantung langsung kepada kaum atau bangsa mana ianya dilahirkan kerana petunjuk dan hidayah adalah hak Allah.

Bukanlah kewajipan kamu menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia mengkehendaki. Dan apa-apa yang kamu menafkahkan dari harta-harta kamu maka (kebaikan) adalah untuk diri kamu sendiri, Dan tidak lah kamu menafkahkan sesuatu melainkan kamu harapkan ridha Allah; Dan apa-apa yang kamu menafkahkan dari harta kamu, niscaya disempurkan Allah balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya” (Surah Al Baqarah, ayat 272).

4)      4. Saya berpandangan konsep “dilahir sebagai orang Islam” adalah suatu konsep yang agak berbahaya kerana ia sering mengakibatkan tindakan mewarisi “agama ibu-bapa” tanpa sebarang soal selidik walhal Islam mewajibkan kita menyoal selidik (Al-Israa ayat 36). Konsep ini juga mengalihkan perhatian daripada isu yang sebenar iaitu - usaha memahami ajaran Allah.  Saya lebih berminat untuk berpegang kepada firman Allah didalam surah

“Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata, "Kami beriman", dan tidak akan diuji? (Surah Al-Ankabuut ayat 2).

Ujian ini akan berjalan sepanjang hayat kita dan jika kita hanya bergantung kepada “saya dilahirkan sebagai orang Islam” sebagai perisai akidah tanpa mempelajari Al-Quran maka timbul tanda tanya: fahaman kita datang daripada mana – kefahaman wahyu dalam AL-Quran atau sangkaan berdasarkan fahaman-fahaman manusia termasuk ibu-bapa? Begitu juga kita harus mahu mengharungi pelbagai cabaran hidup. Dalam konteks ini, peribahasa Melayu “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” atau “biar mati anak, jangan mati adat” dan lain-lain adalah nilai-nilai yang, pada saya, bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam konteks seperti ini, “kemelayuaan” orang Melayu harus diganti dengan keislaman bagi mereka yang mahu berusaha menjadi Muslim.

Kita seharusnya tidak memanjangkan mitos bahawa oleh kerana Melayu “dilahirkan sebagai seorang Islam”, maka ia secara otomatis akan mengamalkan apatah lagi faham agama Islam. Saya percaya samada Melayu atau sesiapa pun yang berminat harus diajak untuk membaca dan memahami Al-Quran. Melalui cara ini keyakinan sebenar mereka berkemungkinan meningkat dan dengan hidayah Allah, akan berusaha menjadi Muslim yang sebaik mungkin.

Pada saya, Islam bukanlah seperti agama-agama tertentu yang telahmenjadi seperti kelab atau persatuan yang memerlukan ahli-ahli yang ramai.  Islam tidak tertakluk kepada permainan angka-angka. Politik memerlukan angka-angka besar.  (It is not a number’s game where you need to get the greatest number of followers. That is politics, not faith).

Wahai manusia, kamulah yang memerlukan (fakir) Allah, dan Dia Yang Kaya, Yang Terpuji”.
( Al_Quran 35:15)

“Yang demikian itu kerana sesungguhnya  telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan keterangan-keterangan jelas, dan lalu mereka berkata, “Apakah manusia yang akan memberi petunjuk kepada kami?” Lalu mereka ingkar, dan berpaling, dan Allah tidak memerlukan mereka. Dan Allah Maha Kaya, lagi Terpuji. (Quran  64:6)

Salam.

Nota: Sila rujuk kepada Al-Quran masing-masing dan jangan terima sesuatu yang ditulis disini tanpa berfikir atau kaji selidik.

2 comments:

PahNur said...

Satu artikel yang amat menarik lebih lebih lagi ia telahpun merangkumi apa yang perlu diperkatakan mengenai topik ini, sehinggakan tiada banyak yang perlu diperkatakan lagi dalam ruangan komen ini.

Saya berpendapat, bahawa mencampuradukkan ugama dan bangsa adalah satu perkara yang kalau dari segi Islam yang sebenar, adalah langkah yang kontra. Ini kerana, Islam merupakan satu ad-deen (cara hidup) yang memberi kebebasan manusia dari terikat oleh mana mana kebudayaan, lantas ia merupakan satu unsur yang menyatukan ummah yang pelbagai rupa, warna kulit, pelbagai adat dan sebagainya. Dengan erti kata lain, Islam adalah deen ( panduan cara hidup)yang bertujuan universal.

Oleh itu, bila kita bercakap tentang "Islam", mungkin kita kena memberi spesifikasi samada kita bercakap tentang "Islam" dari segi undang undang di malaysia, atau "Islam" sejagat. Jika tidak, tentu ini akan menimbulkan pertelingkahan antara ummah.

Islam dari segi politik memerlukan pengiktirafan sesuatu kaum, tetapi Islam sejati, adalah untuk semua umat manusia, tidak kira bangsa atau budaya.

Kita juga perlu ingat, jenis Islam apakah yang kita rasa perlu kita sebarkan? Islam secara muatturun genetik, atau Islam dari segi kefahaman yang mendalam. Melafaz dua kalimah shahadah sahaja, sudah tentu tidak mencukupi untuk seseorang itu mengaku dirinya sebagai "Islam"....

Rashid Embong said...

Assalamualaikum Saudara,

Saya pun seperti saudara sayang dengan TDM namun yang benar tetap benar.

Saya amat tertarik dengan kupasan saudara berkenaan bangsa dan agama. Islam sebenarnya addeen yang berjaya melangkah batasan perkauman dan budaya. Saya dapati Islam sebenarnya mencabar manusia untuk menanam nilai-nilai yang baik tanpa penilaian daripada bangsa mana nilai ini diambil.

Begitu juga, Islam membebaskan manusia daripada kongkongan taksub kepada bangsa dan budaya.

Dari segi ini, saya setuju dengan saudara - Islam itu reformis sifat nya.

Terima kasih kerana meluangkan masa untuk menjelaskan kekeliruan.

Rashid Embong