Followers

Sunday, May 15, 2011

Peniaga Melayu P.Pinang: Rayu UMNO-PAS Bersatu Bagi Membela Nasib Peniaga Melayu P.Pinang


Walaupun hari ini Ahad, saya sebenarnya mempunyai banyak kerja segera yang perlukan perhatian saya. Namun, saya terpanggil untuk menulis pandangan ini kerana tajuk diatas yang keluar dalam Mingguan Malaysia mengusik minda dan jiwa saya.  Ia nya berkaitan peniaga-peniaga kecil, Melayu dan parti-parti yang dianggotai oleh ahli-ahli Melayu.

Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendakwa bahawa gerai-gerai peniaga Melayu diroboh manakala gerai-gerai kepunyaan kaum lain tidak diambil sebarang tindakan.  Mereka juga mendakwa bahawa kerajaan DAP tidak bersungguh didalam menyelesaikan masalah ini. Jika dakwaan in benar, ada beberapa perkara yang perlu difikirkan terlebih dahulu.

Pertama sekali, saya memang tidak menyukai sebarang tindakan oleh pihak berkuasa terhadap peniaga-peniaga kecil yang merugiikan atau membebankan kehidupan mereka asalkan mereka itu sendiri tidak melanggar peraturan-peraturan yang adil.  Sebarang tindakan yang menyusahkan peniaga-peniaga kecil merupakan penindasan golongan berpendapatan sederhana bawah atau menengah. Kebanyakkan rakyat didalam Negara ini merupakan mereka yang berpendapatan menengah dan rendah. Maka, keupayaan dan peluang golongan ini untuk mencari rezeki yang halal harus dilindungi dan diperjuangkan oleh rakyat yang bertanggungjawap.

Keduanya, saya terasa keciwa dengan pendekatan atau laungan Ikhlas untuk menyelesaikan masalah peniaga-peniaga kecil ini iaitu kesatuan UMNO dan PAS untuk menyelesaikan masalah ini. Pendekatan ini membutakan mata kita kepada satu perkara yang amat penting – apakah undang-undang yang sedia ada tidak mampu untuk mengembalikan keadilan kepada peniaga-peniaga yang tertindas? Seharusnya, rakyat mampu berlindung dibawah undang-undang dan peraturan yang adil tanpa perlu berpaut kepada mana-mana parti politik. Sekiranya Ikhlas benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan hak peniaga-peniaga kecil, ia seharusnya menggunakan lunas undang-undang untuk menyelesaikan masalah ini daripada mengalihkan nya ke medan politik.  

Jika Ikhlas mendapati bahawa undang-undang yang sedia ada tidak mencukupi untuk melindungi peniaga-peniaga kecil atau tidak adil, maka ia seharusnya memulakan gerakan untuk mereformasikan undang-undang tersebut. Cara ini akan menjamin kesejahteraan dan hak peniaga-peniaga kecil dijangka panjang daripada penyelesaian politik jangka pendek.

Ketiganya, pendekatan Ikhlas merayu kepada UMNO dan PAS untuk “membela peniaga-peniaga Melayu” juga menampakkan bahawa Ikhlas masih lagi berenang dalam kolam politik untuk menyelesaikan masalah undang-undang dan ekonomi yang mereka hadapi sebagai rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, mereka tidak perlu bergantung kepada belas ihsan parti politik. Parti politik juga tidak bebas atau kebal daripada peruntukkan undang-undang. Tindakan Ikhlas ini memberi kredibiliti yang keterlaluan kepada parti politik UMNO dan PAS seolah-olah mereka ini bebas atau lebih tinggi daripada undang-undang. Jika sikap ini berterusan, maka lama kelamaan rakyat akan tenggalam dalam kolam politik. 

Keempatnya, andaian yang terdapat dalam rayuan Ikhlas kepada UMNO dan PAS juga merbahaya iaitu, hanya parti yang berahlikan Melayu sahaja akan membantu Melayu. Jika ini benar dan berterusan, maka Negara kita akan hancur pada satu masa kelak kerana kita masih lagi belum bebas daripada belenggu jahiliah berkacamatakan perkauman. Jika ini benar, ia bermakna bahawa walaupun kita sudah merdeka lebih daripada 50 tahun, rakyat Malaysia masih gagal berevolusi sebagai manusia dan Bani Adam. Ini juga harus dibetulkan.

Sekiranya benarlah Kerajaan DAP tidak membantu peniaga-peniaga kecil Melayu kerana mereka itu Melayu, maka ini adalah perkara yang serius yang perlu dibawa kemedan pengadilan bukannya medan politik. Ikhlas seharusnya membawa perkara ini ke Mahkamah dan mencabar keputusan ajensi-ajensi yang merobohkan gerai - gerai tersebut, kalau Ikhlas benar-benar ikhlas dengan isu ini. Sampai bila rakyat mahu bergantung kepada belas ihsan orang politik tanpa undang-undang adil yang melindungi rakyat daripada permainan serta kerakusan orang politik?

Saya percaya jika Ikhlas menggunakan pendekatan berasaskan kepada politik semata-mata dan politik perkauman, maka masalah peniaga-peniaga kecil Melayu di Pulau Pinang tidak akan diselesaikan.  Penyelesaiaan kepada masalah ini memerlukan pendekatan yang lebih bijak dan pelbagai termasuk pendekatan undang-undang untuk mencabar keputusan pembuat keputusan sekiranya keputusan itu dibuat diluar peruntukkan undang-undang.  Disamping pendekatan undang-undang, pendekatan-pendekatan lain termasuk ekonomi, perbincangan dengan kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat, kementerian-kementerian berkenaan dan lain-lain harus diusahakan. Pernahkah Ikhlas mencadangkan satu pelan jangka-panjang serta menyeluruh atau cadangan rapi bagaimana masalah ini boleh ditanggani? 

Percayalah, mencampuradukkan permainan politik dengan kegiatan ekonomi adalah satu permainan yang membahayakan serta merugikan golongan berpendapatan rendah dan menengah. Ini berlaku di dalam sejarah ekonomi manusia dan Negara kita tidak terkecuali daripada hukum ini. 

Kita harus mahu berevolusi untuk merenggangkan diri kita daripada diperalatkan dengan sentimen agama dan perkauman oleh golongan politik. Jangan kita pula yang memberi senjata merbahaya ini kepada orang politik. Mereka yang belajar sejarah jatuh bangun tamadun manusia serta sejarah Islam tahu betapa rapuh dan menipunya pendekatan berasaskan perkauman. 

Maka, sebaik-sebaik pendekatan bagi Ikhlas ialah untuk menumpukan usaha dalam menyelesaikan masalahnya secara bijaksana tanpa mempolitikkannya. Kesian lah kepada peniaga-peniaga kecil yang ingin mencari rezeki bagi menjaga anak-isteri  dan keluarga mereka.  

Salam.

1 comment:

Anonymous said...

ramai dah mlyu majmuk kaya kt penang pasal apa tak highlight,,cth, ktua pmuda k.batas. ketua mlayu bukit bendera