Followers

Thursday, June 23, 2011

Silap Mata PAS silap dibaca????

PAS (Parti Agama Semalaysia) tidak lagi perjuangkan “Negara Islam”? Bahaya ulapol dalam masyarakat. –Bahagian Dua

PAS telah berjaya mewujudkan pelbagai kekeliruan dikalangan umat Islam sejak kewujudannya didalam medan politik diNegara ini. PAS telah menonjolkan dirinya sebagai sebuah parti politik yang “memperjuangkan Islam” walhal hasil kewujudannya menunjukkan yang sebaliknya. Ungkapan seperti “agama suku, politik suku” mungkin bunyi sebagai satu ungkapan yang pandai, namun apabila dikaji, ia adalah satu gimik yang bukan sahaja meleset tetapi tidak bertanggungjawap.  Dengan ungkapan itu sahaja, PAS telah berjaya untuk memecahbelahkan umat Melayu kepada dua puak yang bermusuhan semata-mata untuk politik.  Lain lah sekiranya perpecahan itu diakibatkan kerana fahaman Islam yang berbeza kerana ini tidak akan mencetuskan permusuhan.

Ungkapan sedemikian mengabui mata terhadap isu yang lebih penting – iaitu perbezaan diantara mempolitikkan agama dengan berpolitik berpandukan kepada prinsip-prinsip Islam. Bertahun-tahun saya amat hairan mengapa PAS tidak pernah dicabar dalam hal ini. (Saya kira kerana ketika itu ramai orang Melayu termasuk ahli-ahli UMNO sendiri termakan dengan “kehebatan Islam” PAS!) Terdapat perbezaan yang amat ketara diantara keduanya seperti terdapatnya perbezaan besar diantara Muslim dan munafik. Seorang Muslim berusaha menjalankan kehidupannya berpandukan ajaran-ajaran Allah. Seorang munafik pula mungkin tampak lebih Muslim daripada seorang Muslim yang ikhlas, namun ianya adalah duri dalam daging.

Orang Muslim yang faham Al-Quran tidak mempertikaikan bahawa Islam itu syumul dan merangkumi segala aspek kehidupan termasuk siasah. Perkara yang dipertikaikan ialah tindakan membalut dengan “jenama Islam” dan kemudian memperalatkan agama demi politik. Perkara yang dipertikaikan ialah sikap sombong dan ganas yang dipamerkan terhadap pihak-pihak yang berlainan pandangan dan tafsiran. Perkara yang dipertikaikan ialah sikap taksub dan assabiyah yang digalakkan. Perkara yang dipertikaikan ialh sikap sombong yang mengandaikan bahawa Allah hanya memberi hikmah memahami ayat-ayatnya kepada hanya dirinya atau kumpulannya sahaja.

Ekoran kehadiran PAS ditengah-tengah medan politik dengan berjenamakan “Islam” membantu melahirkan pelbagai mitos. Perkara yang paling malang ialah mitos yang dipanjangkan iaitu sarjana-sarjana berkelulusan dalam pengajian Islam yang pelbagai semestinya amat arif dan jujur dalam pandangan mereka mengenai Islam. Adakah kita juga akan mengatakan bahawa sarjana-sarjana kelulusan undang-undang atau perubatan semestinya akan menjadi peguam atau doktor yang amat berilmu dalam undang-undang serta perubatan dan akan mengamalkan bidang masing-masing dengan ikhlas semata-mata kerana Allah?   Sudah tentu tidak.
Maka, kenapa akal kita menjadi buntu bila berhadapan dengan hujah sarjana kelulusan agama bahawa mereka dan hanya mereka sahaja yang diiktiraf oleh Allah untuk mengupas hal-hal berkaitan dengan Islam? Sarjana-sarjana Muslim silam dan pemikir Muslim silam yang hebat sumbangan mereka tidak bersikap sedemikian dan bersikap amat merendah diri sekali.

Berbalik kepada ungkapan “agama suku dan politik suku” yang merupakan sedutan ucapan Presiden PAS Ustaz Abdul Hadi Awang pada 7 april 1981 di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terangganu.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

“ Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'”.

Memang saya setuju jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa didalam politik, kita harus ketepikan ukuran-ukuran atau prinisp-prinsip Al-Quran itu adalah tidak benar. Al-Quran itu adalah Al-Furqan atau pembeda atau pengukur yang harus digunakan oleh setiap Muslim dalam segenap kehidupannya.  Muslim wajib menggunakan ukuran “Islam” dalam kegiatan politik. NAMUN, ia tidaklah harus memperalatkan atau memutarbelitkan ajaran-ajaran Allah untuk tujuan politik semata-mata. Ia juga tidak harus bertindak sebagai seorang Firaun yang memaksa fahaman agamanya keatas orang lain. Ia juga tidak harus berkelakuan seperti “sounds like Islam, looks like Islam but it is not Islam” dan kemudiannya memaksa orang lain menerima fahamannya!

“Katakanlah, "Masing-masing sedang menunggu; maka tunggulah, dan sesungguhnya kamu akan mengetahui siapakah orang-orang yang di atas jalan yang datar, dan siapa yang mendapat petunjuk." (Quran: 20:135)


Memandangkan inilah firman Maha Mengetahui, mengapa pula kita manusia manusia kerdil mahu mendabik dada sebagai “pejuang Islam” dengan terus menghukum orang lain tanpa penilaiaan, tanpa hikmah? Memang “Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian” untuk jadi kafir. Orang yang lebih bahaya daripada kesemua ini ialah orang-orang munafik yang nampak, yang bercakap, yang berpakaian seperti kita tetapi bukan dari kita. Orang-orang munafik ini sanggup selawat keatas Nabi serta bersyahadah bahawa “Muhamad adalah Rasul Allah”semata-mata untuk mencapai tujuan duniawai mereka. Walaupun mereka mengucapkan syahadah ini, mereka bukan lah Muslim.

“Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu, mereka berkata, “Kami mempersaksikan bahawa kamu benar-benar rasul Allah.” Dan Allah mengetahui bahawa kamu adalah benar-benar rasul-Nya, dan Allah mempersaksikan bahawa orang-orang munafik adalah benar-benar pendusta-pendusta” (Quran 63:1)

Maka ungkapan-ungkapan yang bunyi sebagai pandai dan “Islamik”, terutama yang diluahkan diatas pentas politik tidak semestinya menepati prinsip prinsip yang terkandung didalam Al-Quran. Begitu juga janganlah kita begitu mudah teruja dengan ceramah yang dipenuhi dengan bahasa Arab tanpa menilainya terlebih dahulu. Jika kepetahan bahasa Arab itu ukuran utama untuk beriman maka semua orang Arab akan menjadi orang-orang yang beriman dan tanah air orang-orang Arab itu akan menjadi model ikutan seluruh dunia. Ini tidak berlaku sehingga kini selain daripada huru hara politik dan penindasan rakyat marhain di Negara-negara Arab.  Seringkali ceramah-ceramah ini bertujuan untuk melanjutkan pengaruh dan kedudukan ulapol-ulapol didunia ini walaupun ianya dipakej dalam balutan agama.

“Dan antara manusia, ada yang ucapannya terhadap kehidupan dunia menarik hati kamu, dan dia bersaksikan Allah atas apa yang di dalam hatinya, padahal dialah yang paling degil dalam pertengkaran” (Quran 2;204)

Saya percaya pengaruh ulapol-ulapol serta peranan ulamak-ulamak agama yang jumud semakin menurun dengan peningkatan pengetahuan Muslim terhadap ajaran Al-Quran. Sebenarnya saya dapati semakin ramai umat Muslim di Malaysia semakin meluat dengan ulapol-ulapol dan beberapa ulamak agama yang bersikap sebagai pemonopoli ajaran Allah seolah-olah mereka akan berserta masuk kedalam kubur orang lain untuk menjawap bagi pihak mereka.   Sikap sombong mereka yang berkelakuan sebagai gedung ilmu muktamad juga berbahaya dan bertentangan dengan ajaran Allah didalam Al-Quran:

"Katakanlah, "Sekiranya laut adalah dakwat untuk Kata-Kata Pemeliharaku, tentulah laut itu habis sebelum Kata-Kata Pemeliharaku habis, walaupun Kami mendatangkan pengisian semula yang serupa dengan itu." (Quran: 18:109)

Ulamak-ulamak agung masa lampau merupakan cendekiawan yang cinta pada ilmu dan berusaha mengupas secara ikhlas maksud ayat-ayat Al-Quran serta mengkaji hadis-hadis yang diperolehi. Namun, mereka tidaklah berani meletakkan diri mereka sebagai Maha Mengetahui kerana mereka akur kepada hakikat bahawa ilmu yang dimiliki manusia sentiasa terhad berbanding dengan tidak terbatasnya ilmu milikan Allah. Maka ulamak agung masa lampau beriman kepada ayat berikut:-

“Yang mendengar perkataan, dan mengikuti yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang yang mempunyai minda” (Quran 39:18).

Sekiranya PAS diukur berdasarkan Al-Quran, saya percaya akan jelas bahawa PAS bukanlah suatu harakah yang memperjuangkan ajaran-ajaran Islam selain daripada menjadi parti politik yang bermain dengan senitmen agama. Perkara ini amat mudah dibuktikan dengan merujuk kepada sumbangan PAS selama 50 tahun lebih kepada Negara serta membandingkannya dengan ajaran-ajaran dalam Al-Quran.Cuba ahli-ahli PAS merenung soalan-soalan berikut dengan hati yang terbuka:-
1)      Apakah sumbangan PAS terhadap meningkatkan martabat wanita serta menghentikan pelabagai penindasan ekonomi, social dan undang-undang yang dihadapi oleh kaum hawa ini?

2)      Adakah suatu “tamadun” atau pembangunan manusia yang boleh dibanggakan dilahirkan diKelantan sehingga kini?

3)      Apakah sumbangan PAS terhadap keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama?

4)      Apakah sumbangan PAS terhadap hak-hak binatang dan alam semula jadi dimana seorang Muslim sedar bahawa semua itu pertanggungjawapkan diatas bahu seorang Muslim?

5)      Apakah sumbangan PAS terhadap pembangunan undang-undang yang adil didalam Negara ini? Pernahkah mereka mengwujudkan satu jawatankuasa untuk mengkaji samada undang-undang “sibil” itu bertepatan dengan prinsip prinsip Islam, umpamanya atau mengambil sikap simplistik bahawa segala gala yang datang daripada tanah air Arab atau Parsi itu semestinya “syariah” yang konsisten dengan Islam?

6)      Apakah sumbangan PAS terhadap meningkatkan fahaman Addeen Allah (Islam) dikalangan umat Muslim dalam Negara ini?

7)      Apakah sumbangan PAS didalam perpaduan atau keharmonian dikalangan umat Muslim dalam Negara ini?

8)      Apakah sumbangan PAS didalam bidang ekonomi, pendidikan, keadilan, perancangan pengangkutan, pentadbiran baik dsb dalam Negara ini?

Saya boleh senaraikan banyak lagi soalan kepada parti ini yang sekian lama bermain silap mata dengan rakyat yang kurang arif dalam Al-Quran kononnya “membangun bersama Islam”. PAS harus faham bahawa bukan sahaja “politik suku, agama suku” itu boleh menimbulkan pertikaian, namun “macam-macam lain suku, agama suku” juga boleh dipertikaikan.  

Sebenarnya PAS harus tukar namanya kepada Parti Agama Semalaysia kerana ia begitu licik bermain dengan sentimen agama untuk kepentingan politik.

Salam.

(Saya percaya dan berdoa supaya sahabat-sahabat saya didalam PAS tidak tersinggung dengan tulisan saya diatas kerana tujuan saya bukanlah untuk menyinggung. Sekali lagi saya mengulangi, saya kenal sahabat sahabat dalam PAS yang cuba sedaya upaya untuk menjalankan kehidupan mereka berlandaskan ajaran ajaran Allah.  Maka artikel ini bukan ditujukan kepada mereka. Namun, Jika tidak setuju dengan pandangan saya diatas, harap kemukakan pandangan alternatif untuk renungan kita bersama)

2 comments:

jon pour do care said...

Salam,

Kita telah pun membaca kedua dua bahagaian posting Tuan dan kita tidak akan merasa hairan kalau ada pihak2 tettentu akan memberi komen dengan mengeluarkan kata2 kesat terhadap Tuan. Itu memang lah lumrah mereka. Lumrah kerana tidak bolih memikir !

Kita sangat lah tertarik dgn satu persoalan yang telah Tuan utarakan dlm bahgian kedua ini, di mana Tuan telah bertanyakan, kenapa tidak 'golongan2 ini' di cabar ? Bagi penadapat kita dan apa yang kita nak ceritakan di bawah ini, mungkin ada lah salah satu sebab kenapa keadaan itu bolih belaku.

Semasa kita darjah 3 dulu, waktu bulan puasa, bila kita dgn kawan2 hendak menghadiri kelas ugama, semasa kita hendak masuk ke dalam kelas, kita nampak, ustad yg dok ajar kita ugama, melukis di papan hitam, siap menggunakan kapor berwarna warni, se ekor burung berkepalakan se orang wanita ! Selepas memberi salam, kami pun bertanyakan kepada ustad, apa yang di lukis nya. Ini lah jawapan yang kami terima 'MURID2, INI LAH BORAK ! HARI INI, KITA AKAN BELAJAR PASAL ISRAK DAN MEKRAJ !'

Kita telah hidup lebih kurang 30 tahun, MEMPERCAYAI PASAL BORAK YANG DI LUKISKAN OLIH USTAD ITU ! Apabila berpandukan ayat Al Quran-17:36,baru lah kita tahu, gambaran yang di berikan olih ustad itu hanya dongeng semata.

Jadi, dari cerita di atas, Tuan bolih lah merungkaikan satu jawapan kepada persoalan itu. Zaman sekarang, ramai dah yang dok belajar dan mengkaji semula. Ayat2 Al Quran tidak lagi di simpan di dalam almari atau laci(sampai naik sarang labah2 !), tapi sebalik nya, dengan menekan 'beberapa butang', terus Al Quran berada di depan mata, siap dengan berbagai terjemahaan/tafsiran. Bukan itu saja, ada banyak blog2 yang ada forum2 membincangkan tentang Al Quran dan isu2 berkenaan dgn ISLAM.

Tepuk dada, tanya selera atau macam Nabil selalu katakan' LU PIKIR LAH SENDIRI !'

p.s. remembered a verse in the song,SUPERSTITION-BY STEVIE WONDER, "IF YOU BELIEVE IN THINGS THAT YOU DON'T UNDERSTAND, YOU WILL SUFFFFEEERRRRRRRR !

abu idris said...

arrayah.info -
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu." (Surah Ali 'Imraan, Ayat 61).

Mungkinkah pemimpin sekarang sudah munafik?