Followers

Saturday, February 8, 2014

Bakal Ketua Menteri Selangor YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim ???

Pembaca-pembaca blog ini akan sedar serta merta bahawa ini adalah kali pertama saya menyebut nama Anwar Ibrahim dalam blog ini. Saya telah mengelak daripada menyebut nama beliau atas sebab-sebab tertentu selama lapan tahun namun apabila realiti politik mendepankan beliau walaupun pelbagai halangan dilunggukkan dalam perjalanan politik beliau, kita terpaksa menghadapi keadaan ini.

Tiada keraguan langsung bahawa Anwar Ibrahim akan menang didalam pilihan raya kecil Kajang nanti. Saya akan terkejut jika beliau kalah.  Terdapat beberapa sebab yang jelas mengapa beliau akan menang dengan mudah:

1) Imej BN diseluruh Negara masih terjejas secara negatif tanpa dipengaruhi oleh apa-apa yang dilakukan olehnya.
2) BN telah tidak berjaya didalam menguruskan imej politiknya didalam Negara
3) UMNO masih berpecah dan berpuak-puak dengan adanya kumpulan-kumpulan berkuasa yang cuba untuk mendapatkan kuasa dan kawalan sebenar dalam menentukan halatuju UMNO.
4) Terlalu banyak isu-isu sensitif kebelakangan ini yang tidak ditangani dengan efisien oleh kerajaan.
5) terdapatnya tanggapan umum bahawa tidak ada kepimpinan didalam Negara – walaupun ini mungkin tidak benar namun persepsi ini tidak ditangani langsung.
8) Blogger-blogger UMNO tidak mempunyai kebolehan serta keupayaan berkesan untuk menghadapi jentera persepsi Pakatan – kemungkinan nya mereka akan turun ketahap dimana serangan politik akan berupa lucah, kurang sopan dan sombong dimana Rakyat sudah muak dengan kaedah ini.

Halangan terbesar kepada usaha menguatkan BN ialah UMNO sendiri. UMNO, walaupun banyak retorika sebaliknya, jelas tidak mahu berubah dan tidak pula menunjukkan bahawa ia telah berubah dalam cara mana ia menghadapi masalah politik. UMNO sering kali patah balik untuk memainkan isu ras dan agama dengan cara yang paling tidak sofistikated dan kebudak-budakan sehingga di tolak oleh Melayu dan Muslim sendiri. UMNO juga masih terperangkap dalam nostalgia kuasa mutlak dan keadaan Negara yang berbeza sebelum 2004.

Hakikatnya UMNO telah menjadi sangat lemah sejak 1998. Kelemahan ini diakui oleh orang-orang UMNO sendiri apabila mereka menyertai pertubuhan-pertubuhan seperti Perkasa beramai-ramai. Satu peluang yang UMNO ada pada tahun 2004 untuk memperkuatkan dirinya telah disia-siakan hanya semata-mata kerana pergaduhan politik diantara Tun Abdullah dan Tun Mahathir. Tidak ada gunanya untuk UMNO menafikan bahawa terdapatnya usaha sepakat oleh pembesar-pembesar UMNO untuk melemahkan UMNO diantara tahun 2004 sehingga 2008 semata-mata untuk menjatuhkan Tun Abdullah. Pergaduhan inilah yang menyebabkan jatuhnya lima Negeri kepada Pakatan serta melemahkan BN dinegeri-negeri lain.

Malangnya bagi UMNO, sehingga kini, tidak ada langkah-langkah radikal, fundamental dan berkesan untuk menyembuhkan UMNO daripada virus politik ini yang masih melemahkan UMNO. Kita akui bahawa ini adalah usaha yang mencabar dan bukan mudah. Namun ia harus dilakukan jika UMNO mahu kembali pada zaman kegemilangan nya.  Malangnya, langkah-langkah sedemikian tidak diambil. Oleh yang demikian, UMNO dilihat sebagai gagal dalam memberi halatuju kepada Melayu khususnya dan Rakyat Malaysia, amnya.

Apabila UMNO dijangkiti dengan virus dalaman seperti in, perlu kah Pakatan berkempen besar-besaran untuk memenangi pilihanraya kecil Kajang? Saya kira tidak.

Bayangkan keseraman yang menanti BN selepas Anwar memenangi pilihanraya kecil dengan majoriti yang mengkagumkan?

Bayangkan keseraman yang menanti BN jika Anwar menjadi Ketua Menteri Selangor?

Saya percaya tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa jika Anwar menjadi KM, ia mungkin akan lebih bersinar daripada PM dalam menghadapi beberapa isu-isu kerana Anwar mempunyai kebolehan politik untuk lakukan apa yang perlu.

Akhirnya, orang suka pada pemenang.

Maka, UMNO lebih baik lakukan muhasabah diri dan mengambil iktibar daripada perkembangan semasa.


Salam.

1 comment:

Anonymous said...

Memang akan wujud suasana politik menarik bila Anwar jadi MB. Tapi akan untung ke rakyat?