Amat merunsingkan beberapa perkembangan serta respon beberapa pemimpin agama dan politik terhadap dakwaan terdapatnya usaha untuk mengkristiankan orang-orang Melayu di Negara ini. Saya dapati respon-respon yang diberikan ini malangnya merendahkan-rendahkan kebolehan orang-orang Melayu untuk berfikir dan menilai. Saya percaya orang-orang Melayu ini lebih bijak daripada apa yang disangka oleh pemimpin-pemimpin ini. Kemungkinan besar pemimpin-pemimpin ini masih berada diabad ke14 manakala kita telah pun melangkah keabad ke21 yang dicirikan dengan pelbagai teknoloji yang canggih dan efisien.
Disamping itu, respon-respon ini juga menampakkkan bahawa pemimpin-pemimpin ini kurang yakin dengan kekuatan mesej yang terkandung didalam Al-Quran serta peranan Allah sendiri didalam menentukan keimanan seseorang.
“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Quran: 14:4)
Amat jelas sekali maksud surah diatas dimana kuasa memberi petunjuk adalah pada Allah. Seorang manusia yang inginkan petunjuk Allah hendaklah berusaha sedaya upayanya untuk mencari, dan menggunakan akalnya. Mudah-mudahan ia mendapat petunjuk. Seorang Muslim seharusnya berusaha untuk mendampingi Al-Quran dan berusaha untuk memahami isi kandungannya dengan sendiri daripada hanya mendeligasikan tanggungjawap tersebut kepada orang lain.
Sekiranya ia membaca Al-Quran, maka ia tidak akan hairan sama sekali usaha pihak kristian untuk mengkritiankan orang lain. Mereka berbuat demikian kerana mereka yakin benar dengan fahaman Krisitian mereka. Allah telah pun memberitahu kita perkara berikut didalam surah Al-Baqarah ayat 120 seperti berikut:-
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka . Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah, itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”. (Quran 2:120)
Maka, bagi mereka yang memahami ayat diatas, dia tidak akan hairan atau menggelupur apabila mendengar berita bahawa adanya usaha untuk mengkristiankan orang lain. Apakah akal kita memberitahu kita bahawa orang Kristian akan menghindukan kita atau orang Islam akan mengyahudikan orang lain? Tentu sekali akan ada beberapa penganut-penganut agama yang akan cuba untuk meyakinkan orang lain berkaitan dengan agama mereka. Jadi apa yang kita khuatir atau hairan sangat?
Perkara lebih penting ialah: fahamkah orang Muslim itu sendiri mengenai Islam itu sendiri? Adakah dia berusaha untuk membaca isi kandungan Al-Quran untuk memastikan samada apa yang dia percaya sebagai Islam itu konsisten dengan Al-Quran?
Lagipun apabila surah Al-Baqarah mengatakan bahawa orang-orang Nasrani (Kristian) akan berusaha untuk menjadikan orang lain pun percaya seperti mereka – adakah kita tahu apa yang orang Kristian percaya? Pernahkan kita kaji atau fikir samada orang-orang Krisitian hari ini pun mungkin lebih kurang sama dengan beberapa orang-orang Muslim dari segi ini – mereka pun tidak pernah baca Bible mereka sepertimana kita pun tidak pernah membaca Al_Quran kita? Masing-masing berasaskan kepercayaan mereka berdasarkan apa yang diberitakan kepada mereka oleh ketua agama masing-masing!
Didalam Al-Quran, banyak disebut mengenai kisah-kisah yang disentuh didalam Bible terutamanya mengenai Nabi Isa. Kita ketahui bahawa orang-orang Kristian mengangkat Nabi Isa sebagai “anak tuhan”. Adakah perkara ini terdapat didalam Bible dengan jelas? Mana kita nak tahu kalau kita tidak membaca Bible mahupun Al-Quran? Al-Quran ada menyebut perkara berikut:-
“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin” (Quran 4:157)
Jelas sekali bahawa ayat diatas mengatakan bahawa Nabi Isa tidak dibunuh dengan cara disalib. Apakah Bible mengatakan bahawa Nabi Isa disalib? Mana kita nak tahu kalau tidak baca Bible?
Saya telah membaca hampir lebih daripada tujuh versi Bible sejak saya berumur 16 tahun. Pada fahaman saya, membaca John, Matthew, Mark dan Luke (“Gospels”) meyakinkan saya bahawa fakta-fakta yang dinyatakan disitu dengan sendiri menafikan bahawa Nabi Isa telah dibunuh dengan cara disalib. Sebaliknya, fakta-fakta disitu menunjukkan dengan jelas bahawa selepas peristiwa Nabi Isa (mengikut Bible) diletak diatas salib, beliau masih hidup, makan bersama pengikutnya serta berjalan.
Kajian sedikit yang saya buat berkaitan dengan Bible telah saya serahkan kepada Dr Ahmed Deedat semasa yang bertemu dengan beliau diBirmingham pada awal 1990an. Beliau telah membaca Bible dan telah menulis banyak buku mengenainya. Saya amat kagum dengan kebolehan dan usaha ikhlas yang dilakukan oleh Ahmed Deedat seperti mana juga Dr Zakir Naik diIndia yang mahir dalam bhagawad Geeta dan sebagainya. Pemikir-pemikir Muslim ini tidak takut membaca kitab-kitab agama lain. Kenapa pulak pemimpin-pemimpin agama dan politik Negara kita begitu takut?
Macam-macam perkara dan fakta yang boleh saya tulis disini mengenai Bible dan Al-Quran tetapi memadailah jika saya mengatakan bahawa jika seorang Muslim membaca Bible, ia akan lebih faham kebenaran Al-Quran apabila membacanya. Masalahnya ialah, didalam Negara kita ini pemikiran dan budaya ilmiah digam sebagai satu “dosa besar” yang harus dihindari. Kadangkala saya terasa seolah-olah mereka yang lemah minda menganggap orang lain pun sama-sama lemah minda.
Sebenarnya, saya berpendapat bahawa sekiranya Bible versi Bahasa Malaysia dibenarkan, ia mungkin akan melahirkan satu perbincangan yang sihat diantara Muslim dan Kristian. Ia akan berguna bagi mereka yang benar-benar dengan ikhlas mahu mencari kebenaran Allah dan bukanlah semata-mata untuk mempertahankan kedudukan masing-masing. Pengalaman saya menunjukkan bahawa Al-Quran sentiasa berjaya mempertahankan dirinya sebagai kitab yang benar.
Salam.
(Nota: Saya tidak bincang tajuk diatas dari aspek undang-undang. Harap masing-masing rujuk kepada Al-Quran masing-masing untuk menggesahkan terjemahan yang disebut didalam artikel diatas)